Monday, September 19, 2005

Sukaneka di VS

Hari ini, Sevenlord telah melibatkan dirinya secara langsung di dalam acara memancitkan belon ego ketuanya di VS. Acara ini berlangsung selama setengah jam setelah ketuanya gagal menghadirkan diri pada masa pejabat yang sepatutnya bermula pada jam 9 pagi.

Acara ini bermula dengan baik, apabila Sevenlord masih lagi mampu mengawal kemarahannya terhadap ketuanya yang sering saja menggunakan taktik-taktik kotor, yang paling jelas adalah taktik pembohongan tahap dewa bima sakti. Walaubagaimanapun, Sevenlord yang tidak mudah melatah ini, terpaksa melatah apabila dicucuk dengan hilai tawa ketuanya yang me-ridicule prinsipnya yang tidak ingin menjadikan perkerjaannya sebagai hidupnya (turning her job into her life). Dia yang menyatakan hasrat dan pendapatnya berkenaan gaya hidup bekerja malam yang semakin popular di Malaysia ini yang mana dia merasakan tidak bersesuaian untuk dipraktikkan olehnya, telah dipersendakan oleh ketuanya itu.

Acara ini menjadi lebih panas, apabila towkey VS turut serta melibatkan diri setibanya dia di pejabat pada jam lebih kurang 12.04 tengahari. Dia memulakan acara ini dengan menyegarkan kembali ingatan Sevenlord pada rakan-rakan sepejabat yang telah mengambil keputusan untuk bersara terus dari acara ini dan mencari kerja yang lebih berfaedah dan bergaji. Dia telah menrendah-rendahkan mereka ini dengan mengeluarkan kenyataan bahawa mereka ini tidak mempunyai reputasi yang bagus. Lantas si Sevenlord mencelah dan dipetik berkata,

"Apa kaitan prestasi mereka dengan saya. Saya ke sini kerana diri saya sendiri, kerja saya dan gaji saya sendiri. Tolong jangan libatkan mereka dan keluarga mereka"

Maka towkey VS terpaksa mencari helah lain untuk menutup ketidak-relevanan kenyataan yang dikeluarkannya, dan berkata,

"Mereka ini yang mempengaruhi Sevenlord untuk mengambil keputusan sebegini"

Oleh yang demikian, Sevenlord memberitahu si towkey dan si ketua bahawa dia bukan anak-anak kecil yang bodoh dan tidak mampu berfikir, Sevenlord adalah seorang pemerhati, pendiam, tetapi mempunyai daya pemerhatian yang sangat unggul. Dia melihat segala macam penipuan yang dilakukan oleh si ketua, itu saja sudah cukup untuk menyebabkan dia tidak membutuhkan untuk bekerja di situ lagi.

Kemudian, si towkey dan si ketua cuba memujuk Sevenlord untuk bertahan sehingga genap bulan ke-dua belas. Sevenlord dengan lantangnya menyuarakan ketidak-mungkinan dia untuk bertahan hatta hingga keesokan hari sekalipun, kerana hatinya sudah menjadi setawar air tawar tempat istirehat ikan tembakul,

"Kalau kerja tapi tak bayar gaji, kerja saya tetap siap, gaji saya masih belum dibayar. Saya tak ada assurance langsung. Mana saya tahu kalau-kalau nasib si 'F-hantu' menimpa saya. Kena terminate service, kerja dah buat, gaji tak berbayar."

Si towkey bertanyakan Sevenlord andai ada perkara lain yang kurang enak yang mendorongnya untuk menamatkan perlumbaan tikus ini. Sevenlord merasakan andai ada perkara yang ingin diperbetulkan, maka inilah peluangnya. Kemudian, dia ditanya lagi, mahukah dia terus dalam perlumbaan tikus ini kiranya masalah gaji ini diselesaikan. Sevenlord memberitahu si towkey, dia tidak boleh bekerja dengan orang yang mempersendakan pendapatnya, menjadikan prinsipnya bahan ketawa. Lantas, si towkey bertanyakan siapakah gerangan yang dimaksudkan oleh Sevenlord. Sevenlord mula bermain-main dengan bahasa, berkias-kias supaya si empunya diri mengaku dengan lidah yang diberi Tuhan.

"Orang, kalau baling batu sembunyi tangan, kenalah tunggu tangannya bercakap, sebab mulut dia dah bisu!"

"Siapa?" soal si towkey.

"There's a monster of a coward heart lurking inside this room"

"Siapa ni?" towkey mula hilang sabar.

"What's the issue ni" si ketua pura-pura tak faham.

Maka, keberangan Sevenlord menjadi berlipat kali ganda, dah dikatanya si ketua itu coward masih lagi dia tidak rasa tercabar untuk mengambil tanggungjawab atas perkataan yang keluar dari mulut si ketua kertu itu. Kasihan si ketua, kerana dia tidak punya karisma, tidak punya jatidiri, dia tidak punya apa-apa. Sevenlord dapat merasakan percikan api mula keluar dari celahan jari tangannya, kepulan asap mula menderu keluar dari telinganya, dia berada dalam keadaan panas lampau. Dia mengumpul seluruh tenaga upayanya dan said it straight to the ketua's face - DIA, DIALAH ORANGNYA. YANG TIDAK MENGHORMATI SAYA, MALAH MEMPERSENDAKAN SAYA, MANAKAN BOLEH SAYA BEKERJA DENGAN ORANG SEBEGINI!! inilah the coward monster, inilah dia si empunya tangan yang hanya mampu membaling batu dalam keadaan buta dan gelap, tapi tidak bisa berdepan dengan cahaya

***

Jadi, sekalian anda yang membaca bolehlah menilai siapa sebenarnya juara acara memancitkan belon ego ketua di VS. Konklusi kepada cerita ini, Sevenlord berjaya menamatkan bahagian hidupnya di VS dengan bahagia sekali, meskipun ceritanya akan ditokok tambah dari masa ke semasa, oleh individu-individu yang punya kepentingan untuk bercerita mengenai Sevenlord.

#TAMAT#

No comments: